IPOH: Lelaki yang mengeluarkan kata-kata kesat dan meludah seorang pekerja wanita di sebuah kedai runcit di Lahat telah ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP A Asmadi Abdul Aziz berkata, lelaki berusia 47 tahun terbabit ditahan pukul 8.45 malam susulan laporan daripada wanita tersebut.

“Lelaki itu telah ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ipoh dan ditahan 24 jam bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu memiliki tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan tangkapan mengadu dalam keadaan mabuk semasa kejadian berlaku, ” katanya.

Ujar ACP A Asmadi, tindakan kompaun dikenakan terhadap lelaki itu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tambahnya kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan/ Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu gaduh gempar di tempat awam dan berkelakuan aib.

“Kejadian itu berlaku pada 30 November pada jam 8.40 malam apabila lelaki itu yang juga pelanggan melanggar SOP PKPB. Apabila ditegur, lelaki itu telah mengeluarkan kata makian serta meludah wanita itu.

“Pergaduhan hampir tercetus namun sempat dihalang oleh pekerja yang lain. Kejadian itu dirakam oleh salah seorang pekerja lain dan ditularkan di media sosial,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Asmadi menasihatkan orang ramai untuk tidak menularkan lagi rakaman kejadian itu kerana dikhuatiri boleh memudaratkan atau menggugat keharmonian kaum.