IPOH, 25 Nov – Seorang lelaki maut dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah warung di Flat Ashby Road, di Ipoh kira-kira jam 7 pagi pada Khamis.

Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, maut dalam pergelutan bersama tiga lelaki kerana dikatakan telah mencuri pembesar suara milik seorang daripada mereka.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata ketika kejadian, mangsa yang berada dalam keadaan tertiarap telah dicekik daripada belakang oleh salah seorang suspek sebelum mangsa maut.

“Saya difahamkan suspek tidak berpuas hati kerana mangsa dikatakan telah mencuri pembesar suara milik salah seorang daripada mereka. Jadi apabila berlaku pertengkaran, mangsa telah terbunuh dalam kejadian.

“Leher mangsa telah dicekak dan menyebabkan mangsa telah terbunuh. Dalam pada itu dipercayai mangsa juga mempunyai masalah kesihatan mental,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) Tahun 2021 di Pusat Membeli-belah AEON Kinta City, dekat sini pada Khamis.

Sementara itu Mior Faridalathrash memberitahu susulan kejadian berkenaan, ketiga-tiga suspek berusia 60, 43 dan 34 tahun ditangkap bagi membantu siasatan selain sebilah pisau lipat yang ditemui di lokasi kejadian, dirampas.

“Permohonan reman ke atas ketiga-tiga suspek akan dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya lagi.

Tambahnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dekat sini untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.