Petaling Jaya: Tindakan cuai seorang pemandu treler mengubah laluan secara mendadak menjadi punca penunggang motosikal warga Indonesia maut manakala anak perempuannya cedera parah akibat gagal mengelak.

Dalam nahas jam 4.10 petang kelmarin, mangsa, Budi Arifin, 32, disahkan maut di lokasi kejadian di Kilometer 2.0 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menghala Kepong, di sini.

Bagaimanapun anak mangsa, Siti Aishah berusia lapan tahun terselamat dan hanya patah tangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca kecuaian pemandu treler berusia 54 tahun yang mengubah laluan ke kanan secara tiba-tiba.

“Tindakan ini menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal Honda RS 150 tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tengah tayar treler berkenaan yang membawa muatan tanah merah.

“Mangsa yang parah di kepala disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Azman berkata, anak perempuan mangsa yang cedera pada tangan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik PPUM untukdi bedah siasat. Waris mangsa juga sudah dihubungi bagi tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya – hmetro