TAIPING, 14 Jan – Seorang lelaki meninggal dunia ketika bermain badminton di Dewan Badminton Kawasaki, Jalan Pokok Assam, Taman Raja Idris, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, Lim Thian Meng, 47, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 8.50 malam.

“Lebih kurang 9 malam, pihak polis sampai di lokasi dan dapati mayat seoranc lelaki Cina terbaring di lantai gelanggang badminton nombor 5, lengkap berpakaian sukan.

“Pemeriksaan tubuh badan tidak menemui sebarang tanda-tanda berunsurkan jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Osman berkata, temubual dengan rakan-rakannya mengatakan simati datang untuk bermain badminton di dewan berkenaan jam 6.30 petang.

Menurutnya, kira-kira jam 8.30 malam, simati dikatakan telah tunduk untuk mengambil bulu tangkis sebelum diserahkan kepada rakan bergu.

“Selepas itu simati terus jatuh dan rebah serta tidak sedarkan diri. Salah seorang pemain yang berada di situ telah menelefon ambulans Hospital Taiping,” ujarnya.

Katanya, pihak ambulans tiba kira-kira jam 8.38 malam dan pemeriksaan oleh penolong pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Menurut Osman, temubual dengan kakaknya mengatakan simati tinggal bersama seorang abang yang kurang upaya (OKU) dan mempunyai penyakit darah tinggi.

Kes diklasifikasifikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan bedah siasat akan dijalankan selepas mendapat ujian saringan COVID-19.