IPOH, 22 Feb – Malaysia akan mempunyai satu lagi Geopark Global apabila Lembah Lenggong disasarkan mendapat pengiktirafan itu menjelang tahun 2025.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebagai permulaan, Lembah Lenggong dijangka dapat diistiharkan sebagai Geopark Kebangsaan dalam tahun ini.

Menurutnya, Jawatankuasa Geopark Kebangsaan sedang melakukan kajian terakhir sebelum ia dapat diistihar sebagai Geopark Kebangsaan pada julai ini, yang kedua di Perak selepas Geopark Lembah Kinta.

“Komitmen kita juga untuk membolehkan kajian lebih lanjut dibuat kerana perancangan kita kalau mengikut jadual, maknanya pada tahun 2025, kita akan angkat Geopark Lenggong sebagai Geopark Global.

“Maknanya kita ada satu Lembah Kinta sebagai Geopark Kebangsaan dan kita akan ciri-ciri dan nilai yang tinggi di Lenggong untuk membolehkannya diangkat sebagai Geopark Global,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Geotapak Gunung Lang dan Gunung Matsoorat di Geopark Lembah Kinta di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Zurinah Pawanteh dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Shamsul Anuar berkata, kedua-dua geopark itu akan memberi impak pada pembangunan eko pelancongan di Perak, tambahan pula setiap geopark itu mempunyai ciri-ciri dan keistimewaan berbeza.

Beliau menjelaskan pembangunan ekonomi masih boleh dilaksanakan di dalam kawasan geopark, berbanding kawasan yang diwartakan sebagai warisan.

Bagaimanapun, kementerian berharap sebarang pembangunan yang ingin dilakukan mestilah tidak menjejaskan kriteria yang ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, semua Geopark Kebangsaan akan dinilai semula setiap empat tahun bagi memastikannya masih mengekalkan kriteria sebagai geopark berkenaan.

Menurutnya, antara kriteria itu ialah pengekalan unsur-unsur pembangunan lestari yang mampu memberi manfaat, khususnya dari segi penjanaan ekonomi komuniti setempat.

Katanya, kementerian akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan pembanguan di kawasan geopark mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi terus diikhtiraf sebagai geopark kebangsaan.

“Maknanya apa juga yang hendak dilakukan, kita di kementerian akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan pematuhan pada apa juga peraturan yang penting bagi mempastikan kelestarian secara keseluruhan.

“Kita faham dengan keperluan untuk pembangunan bagi meningkatkan pendapatan negeri, dalam waktu yang sama juga kita juga cukup mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan,” tambahnya.

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, aktiviti pengkuarian di beberapa gunung di Ipoh yang disiarkan media baru-baru ini tidak termasuk di dalam Geopark Lembah Kinta.

Sebaliknya, kata beliau, kawasan itu telah diwartakan sebagai Zon Ekonomi Industri Asas Mineral / Batuan dalam Rancangan Tempatan Daerah Batu Gajah 2025.

Beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan memastikan setiap kajian semula rancangan tempatan untuk daerah-daerah di perak akan diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang kelulusan diberikan.

Menurutnya, ia sebagai salah satu rancangan untuk memastikan sebarang aktiviti pengkuarian tidak akan menjejaskan pendapatan negeri di samping memastikan kemampanan dan kelestasrian alam sekitar terus terpelihara.