DHAKA: Seorang ulama terkenal di Bangladesh yang mempunyai pengikut seramai tiga juta dalam Facebook dan YouTube menjelaskan penggunaan emoji ‘haha’ boleh menjadi haram.

Ahmadullah memberi penerangan tentang perkara itu menerusi sebuah klip video pendek dalam Facebook yang disiarkan 19 Jun lalu.

“Hari ini kita sering menggunakan emoji ‘haha’ dalam Facebook untuk mentertawakan orang lain. Sekiranya emoji itu hanya bertujuan suka-suka dan memang itu adalah niat individu yang menyiarkannya tidak mengapa.

“Namun, sekiranya reaksi itu berniat mengejek atau mempersendakan orang lain dengan menulis komen terhadap individu yang menyiarkan hantaran itu, ia adalah dilarang dalam Islam,” jelasnya.

Menurut Ahmadullah, beliau menyeru orang ramai supaya menahan diri daripada meletakkan emoji ‘haha’ pada hantaran media sosial orang lain bagi kebaikan bersama.

“Sekiranya anda menyakiti orang Islam yang lain, berkemungkinan dia akan memberi respons dengan bahasa yang buruk dan tidak dijangka,” katanya. -AGENSI