IPOH, 3 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lenggong berdiri teguh dengan keputusan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang meletakkan jawatan beliau sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan.

Ketuanya, Mohamad Hamidi Baharuddin berkata, perletakan jawatan itu menunjukan Ahli Parlimen Lenggong berkenaan memegang teguh keputusan pucuk pimpinan parti.

“Langkah diambil itu jelas membuktikan Datuk Seri mempunyai kredibiliti dan integriti yang cukup tinggi serta mengutamakan kepentingan nasib rakyat melebihi kepentingan peribadi,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Menurutnya, Pemuda UMNO Lenggong akan terus bersama Shamsul Anuar.

Terdahulu, Shamsul Anuar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Lenggong itu, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira keputusan dan pendirian UMNO.