IPOH, 11 Jun – Lima individu didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas tuduhan menculik dan membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui terapung dalam Sungai Kinta, di Ipoh, bulan lalu.

Basharuddin Hammersla, 26; S. Jeyenthiran, 34; S Simeon, 31; T. Selvamani, 40, dan V. Thiruganesh, 36 mengangguk faham apabila pertuduhan terhadap mereka dibacakan serentak dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dua lagi yang masih bebas didakwa membunuh A. Preshna, 40, di Jalan Che Puteh, Ipoh antara jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang, 23 Mei lalu.

Mereka didakwa dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Jeyenthiran, Simeon, Selvamani dan Basharuddin turut didakwa menculik mangsa yang sama di bangunan terbiar Jublee Park juga di Ipoh kira-kira jam 7.30 pagi pada hari yang sama.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 364 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang boleh dihukum mati atau penjara sehingga 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan dan tiada jaminan diberikan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Ogos hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, K Darinee manakala tertuduh diwakili Peguam Nahtan Krishnan dan Charan Singh.