BATU KURAU – Majlis kesyukuran makan durian di Kampung Sempeneh, di sini semalam bertukar menjadi ‘pesta’ apabila sejumlah lima tan durian yang dihidangkan kepada pengunjung ‘licin’ dalam tempoh tiga jam sahaja.

Lebih mengejutkan, program tahlil dan kesyukuran makan durian anjuran Masjid Al-Rusydhiah Kampung Sempeneh, di sini dengan kerjasama komuniti kampung itu ‘diserbu’ lebih 8,000 pengunjung bermula jam 11 pagi dan berakhir jam 2 petang.

Pengerusi masjid itu, Hashim Ismail, 62, berkata, jumlah kehadiran luar biasa pengunjung dari pelbagai negeri termasuk Kuala Lumpur, Johor dan Kedah amat mengejutkannya memandangkan pada program sama dianjurkan tahun lepas, jumlah kehadiran tidak sampai 4,000 orang.

“Program ini merupakan program kali kedua anjuran pihak kariah masjid bersama penduduk Kampung Sempeneh, di sini selepas tahun lalu di mana hanya dua tan buah durian sahaja disajikan kepada kurang daripada 4,000 pengunjung yang hadir.

“Bagi pihak penduduk, kami berbangga sambutan orang ramai terhadap majlis kesyukuran makan durian percuma pada setiap musim durian di kampung ini amat menggalakkan dan jumlah kehadiran dua kali ganda berbanding tahun lalu,” katanya kepada media di perkarangan Masjid Al-Rusyhdiah Kampung Sempeneh, di sini semalam.

Hashim yang juga merupakan pesara polis berkata, bagi membiayai kos bekalan buah durian, jawatankuasa kariah masjid menggunakan wang sumbangan orang ramai dan kutipan tabung masjid selain sumbangan ikhlas penduduk yang memiliki dusun durian di kampung itu.

Menurutnya, pengunjung yang hadir bukan sahaja dijamu buah durian Batu Kurau yang popular, malah turut disertakan dengan hidangan pulut santan sebagai pemanis mulut.

“Majlis kenduri kesyukuran makan durian percuma ini dijangka akan diteruskan pada musim durian tahun 2019 akan datang.

“Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk meraikan tanda kesepakatan penduduk yang sentiasa memberi komitmen dalam pelbagai program yang boleh menaikkan nama dan imej Kampung Sempeneh,” katanya.

Hashim berkata, hasil kesepakatan komuniti penduduk, Kampung Sempeneh, di sini pernah dianugerahkan sebagai johan Kampung Lestari peringkat kebangsaan pada tujuh tahun lalu.

Selain itu, beliau turut mengambil peluang kehadiran ribuan pengunjung untuk mempromosikan hasil produk durian Kampung Sempeneh yang terkenal dengan hasil buah berkualiti tinggi.

“Selain itu, program ini juga diadakan sebagai tanda kesyukuran daripada pihak saya dan isteri, Hajjah Balqis Zuhdi, 53, dan anak-anak serta komuniti penduduk

Kampung Sempenes kepada kurniaan rezeki buah durian yang agak banyak pada musim kali ini,” katanya.