IPOH – Nyalaan lampu berwarna ungu menerangi Bulatan Sultan Yussuf dan Dewan Bandaran di sini sebagai tanda sokongan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sempena Sambutan Hari Anak Pramatang Sedunia 2020 semalam.

Limpahan cahaya yang turut menarik perhatian orang ramai yang melalui kawasan tersebut dinyalakan selama empat jam bermula pukul 8 malam.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ia sebagai tanda simbolik pihaknya kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi menyokong sambutan berkenaan.

Katanya, nyalaan lampu ungu tersebut adalah sebagai tanda sokongan MBI terhadap anak yang dilahirkan pramatang.

“Kita memilih Bulatan Sultan Yussuf dan Dewan Bandaran sebagai ikonik bandar ini.

“Antara bangunan yang pernah memasang lampu ungu adalah Empire State Building di New York dan Menara Kuala Lumpur,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelahiran pramatang yang juga dikenali sebagai kelahiran pramasa atau prematur, berlaku apabila bayi dilahirkan sebelum lengkap minggu ke-37 kehamilan.

Kebanyakan bayi pramatang berkembang dan membesar dengan baik namun mempunyai risiko yang lebih tinggi terhadap masalah selepas kelahiran.

Dianggarkan lima peratus daripada kelahiran adalah pramatang. – K! ONLINE.