KUALA LUMPUR, 4 MEI : Tindakan ahli politik melompat parti tidak menjadi satu kesalahan di negara ini melainkan melibatkan pembayaran wang oleh pihak tertentu.

Demikian tegas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki ketika mengulas gesaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini.

Menurut beliau, mana-mana pemimpin dan ahli politik bebas melompat parti mengikut pendirian mereka berikutan tiada undang-undang yang melarang mereka daripada berbuat demikian.

“(Lagipun) Akta Anti Lompat Parti tidak wujud lagi, jadi sebab itu saya tidak mahu komen sangat.

“Ini bukan satu kesalahan dan terdapat juga mereka keluar parti jadi hebat, itu bukan satu kesalahan di negara kita,” katanya dalam sidang media Program Kerjasama Strategik Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) di ibu negara pada Selasa.

SPRM, bagaimanapun, tegas Azam, akan menyiasat sekiranya wujud amalan rasuah susulan tindakan ahli politik melompat parti.

“Kalau mereka yang kita siasat kebanyakan mereka yang meraih sokongan dan dikatakan membayar wang, itu kita siasat dibawah Akta Pilihan Raya, macam kes Ahli Parlimen Sekijang (PKR), Natrah Ismail baru-baru ini pun kita dah siasat dan tiada kes.

“Tidak ada pembayaraan yang dikatakan bernilai RM10 juta seperti disebut-sebut banyak pihak,” katanya lagi.

Jumaat lalu, Abdul Hamid dalam satu sidang media mengesa SPRM untuk menyiasat dakwaan unsur rasuah berkaitan ahli politik bertindak melompat parti bagi mendapatkan habuan.

Dakwa beliau, terdapat rasuah berlaku dalam politik termasuk amalan ‘membeli’ pemimpin lain serta mengugut individu yang enggan ‘dibeli’. – AWANI