PETALING JAYA: Seorang pemandu lori kontena maut selepas kenderaan berat dipandunya itu terbabas sebelum terbalik di Lebuhraya NKVE berhampiran susur keluar ke Sungai Buloh di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari itu, Zulkifli Musa, 39, berasal dari Bidor, Perak disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di bahagian sisi ori yang terbalik.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat, berkata siasatan mendapati lori kontena dengan muatan jubin dipandu mangsa itu dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menghala ke arah Sungai Buloh.

“Sampai di lokasi, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri laluan terbabit sebelum terbalik mengakibatkan pemandu tersepit di bahagian sisi kepala treler.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Sungai Buloh dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca sebenar kemalangan itu.

“Kita mohon saksi di tempat kejadian yang melihat kemalangan untuk tampil membantu siasatan.

“Mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz ditalian 011-3231 1232,” kata Azman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.