PARIT, 4 Sept – Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bersedia untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan mempercepatkan proses vaksinasi di kalangan pelajar sekolah.

Pengerusi LPPKN, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, langkah itu selaras dengan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan 3 Oktober ini.

Menurutnya, LPPKN mempunyai tenaga pakar dan kemudahan bas mencukupi bagi pelaksanaan program outreach vaksinasi di seluruh negara.

Malah, katanya, setakat ini pihaknya telah bersama-sama kerajaan dalam program pemberian vaksin mencecah 25,000 orang di seluruh negara.

“Sekiranya KKM berpendapat perlu ada gerakan-gerakan tertentu khusus untuk golongan remaja bawah 18 tahun yang telah diluluskan menerima vaksin, maka sudah tentu kita sedia membantu,” katanya.

Beliau ditemui pada program Belanja Outreach Vaksin Covid-19 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit membabitkan 538 penerima di sini, hari ini.

Pada Ogos lalu, KKM meluluskan untuk memperluaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Dalam pada itu, Mohd Nizar yang juga Ahli Parlimen Parit berkata, setakat ini hanya satu Klinik Nur Sejahtera di bawah LPPKN di Negeri Sembilan dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) dan pihaknya belum bercadang untuk menambah PPV berkenaan.

Katanya, pendekatan LPPKN kini lebih kepada program outreach kerana boleh sampai ke kawasan-kawasan tumpuan dan khusus kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak serta oesakit terlantar yang tidak dapat pergi ke PPV.

“Kita mempunyai 15 bas bergerak dan bersedia membantu di mana-mana tempat diperlukan oleh KKM. Kakitangan kita juga mempunyai kemahiran kerana mereka juga jururawat di Klinik Nur Sejahtera,” ujarnya.