SEJAK kerajaan Perak mengumumkan penyediaan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Ipoh, bandar raya yang sebelum ini ‘sunyi’ kembali hangat diperkatakan.

Bukan sahaja menjadi topik utama warga kota, malah warganet juga tidak ketinggalan merancakkan lagi imej dan wajah baharu bakal merubah Ipoh.

Lihat sahaja di Facebook dan Twitter, penuh dengan gambar lokasi tumpuan di Ipoh telah diubah suai dengan kewujudan stesen-stesen LRT.

Imej baharu dengan perkhidmatan LRT yang diberikan warganet di Pasar Besar Ipoh, penempatan Gugusan Manjoi, pusat perkelahan Ulu Chepor, pekan lama Ipoh dan restoran nasi ganja Yong Suan kian menjadi trending di platform media sosial.Rata-rata mereka memberi maklum balas positif, namun terdapat juga segelintir kurang bersetuju dengan cadangan tersebut.

Umum mengetahui bandar Ipoh telah menerima pengiktirafan portal pengembaraan dunia, Lonely Planet pada 2016 sebagai antara 10 wilayah terkemuka dunia untuk dilawati.

Akhbar berpengaruh dunia, The New York Times dalam ruangan Travel pada 2017 turut menyiarkan artikel bertajuk Why Ipoh, Malaysia, should be on your Travel Radar. Populariti yang diraih Ipoh harus diambil peluang oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk menaik taraf dan menambah baik kemudahan yang ada terutama struktur pengangkutan untuk dijadikan tarikan dan diperkenalkan kepada pelancong.

Sejak 1988, MBI telah menjalinkan hubungan baik sebagai bandaraya kembar (sister city) dengan Bandaraya Fukuoka, Jepun diikuti Guangzhou, China dengan masing-masing mempunyai tahap jaringan pengangkutan awam yang terbaik.

Guangzhou Metro misalnya adalah pengangkutan awam utama yang digunakan semua penduduk dan pelancong. Ia lebih kurang sama seperti LRT di Kuala Lumpur dan seperti dicadangkan untuk dibangunkan di Ipoh.

Wilayah Fukuoka pula adalah pusat perkhidmatan feri antarabangsa dan mempunyai rangkaian pengangkutan udara terbaik serta rangkaian pengangkutan kereta api yang cukup besar dilengkapi jalan raya dan jalan darat.

Ia merangkumi rangkaian rel dan lebuh raya awam serta swasta, lapangan terbang untuk penerbangan antarabangsa, domestik dan am, bas, perkhidmatan penghantaran motosikal, berjalan kaki, berbasikal serta penghantaran komersial.

Justeru, penyediaan perkhidmatan LRT di Ipoh adalah pembangunan yang diperlukan pada masa hadapan kerana bandar raya itu dalam perancangan menjadi bandar wilayah selepas 2035.

Seperti dinyatakan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, bandar raya itu sedang dibangunkan menjadi wilayah baharu dan pusat kepada daerah terdekat, antaranya Kinta, Kampar, Batang Padang, Cameron Highlands, Kuala Lipis dan Gua Musang.

Berdasarkan Draf Rancangan Tempatan Bandar Raya Ipoh 2035 (Penggantian) yang dikeluarkan MBI, sebanyak 28 stesen LRT telah dicadang dibangunkan dengan jumlah jarak keseluruhan 58 kilometer (km).Cadangan projek mewujudkan perkhidmatan LRT itu akan melibatkan dua laluan, masing-masing 16 stesen.

Laluan Meru Raya-Ipoh-Batu Gajah meliputi jarak laluan 30km, manakala laluan Bandar Sunway-Ipoh-Simpang Pulai pula sejauh 28km dengan kekerapan perkhidmatan adalah selama enam minit.

Stesen laluan pertama yang dirangka ialah di Meru Raya, Jelapang, Manjoi, Silibin, Medan Kidd, stesen utama, UTC Ipoh, Pasir Puteh, Pasir Pinji, Falim, Menglembu, Pengkalan, Station 18, Lahat, Batu Gajah Perdana dan Batu Gajah.

Sementara stesen laluan kedua pula ialah di Bandar Sunway, Tambun, Ipoh Garden, Stadium, Hospital, Medan Raya kemudian melalui stesen utama dan ke stesen Maju Rapat, Medan Gopeng, Gunung Rapat, Taman Chempaka, Ampang dan Simpang Pulai.

Pembangunannya dijangka mampu menyumbang kepada pertumbuhan semula ekonomi, selain mengurangkan kesesakan lalu-lintas di pusat bandar raya.

Exco Perumahan, Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi memaklumkan, sebagai permulaan hab pengangkutan LRT Ipoh akan dibangunkan di kawasan seluas kira-kira 60 hektar di sekitar Stesen Keretapi Ipoh. Cadangan itu diharap dapat memberi nilai tambah dan mercu tanda baharu bandar raya ini. – SINAR HARIAN