KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Mahkamah Tinggi di sini akan memanggil seorang doktor pakar sebuah hospital swasta supaya menjelaskan keadaan kesihatan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas beliau tidak hadir pada perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan haram yang dihadapinya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, sapina akan dikeluarkan kepada doktor berkenaan agar beliau hadir bagi menjelaskan prosedur yang akan dijalankan terhadap Ahmad Zahid serta tempoh masa yang diperlukan sebelum tertuduh benar-benar pulih.

“Mahkamah tidak boleh membenarkan sebarang penangguhan lagi dan akan memanggil doktor berkenaan menjelaskan keadaan kesihatannya serta prosedur yang akan dijalankan,” jelas beliau.

Sebelum itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan, Presiden UMNO itu tidak dapat hadir kerana akan menjalani prosedur pada bahagian tulang belakangnya di sebuah hospital pakar hari ini.

Menurut peguam bela, Ahmad Zahid mengalami kesakitan akibat terjatuh dan tidak mampu duduk terlalu lama.

Mahkamah sepatutnya mendengar penghujahan kes Ahmad Zahid, 68, yang menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016. -Utusan