TAIPING, 10 Sept – Seorang ibu tunggal mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan cuai sehingga menyebabkan anjing peliharaannya menggigit seorang kanak-kanak perempuan, Julai lalu.

Tertuduh, K Saroja Devi, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Adibah Abdul Kadir.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan cuai membiarkan anjing peliharaannya mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, kira-kira jam 5 petang di hadapan sebuah rumah di Kampung Larut Tin Sambungan, Taiping pada 10 Julai lalu.

Ibu tujuh anak itu didakwa di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksima enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Faakihin Ahmad Fauzi menawarkan jaminan RM2,000 tetapi peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah memohon jaminan dikurangkan kepada RM500 kerana tertuduh tidak berkemampuan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 25 Oktober depan untuk laporan perubatan mangsa sebelum menjatuhkan hukuman.