IPOH, 27 Julai – Sebuah syarikat pembekal perkhidmatan perancah (scaffolding) didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah gagal memastikan keselamatan perancah sehingga menyebabkan kematian dua pekerja warga Myanmar pada Oktober tahun lalu.

Team Force Scaffolding & Insulation Sdn. Bhd, yang diwakili pengarahnya, Lau Kiew Ling membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa gagal untuk memastikan perancah yang dipasang di tingkat enam ‘calciner kiln’ sebuah kilang, mengikut reka bentuk yang selamat sehingga menyebabkan dua pekerja warga Myanmar, berumur 25 dan 32 tahun, maut akibat jatuh dari tempat tinggi, ketika menjalankan kerja-kerja rombakan perancah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tasek, dekat sini, kira-kira jam 12 tengahari, 5 oktober 2020.

Syarikat tersebut didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, Hasan Abdul Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.