IPOH, 14 Okt – Seorang lelaki warga India bersama-sama seorang wanita Indonesia dan seorang wanita tempatan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis atas tuduhan mengedar dadah, minggu lepas.

Tiada pengakuan direkodkan apabila pertuduhan terhadap L. Narayanan, 42, Puteri Adelia, 21 dan warga tempatan, M. Hemamalani, 26, dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nur Melati Diyana Abdul Wahab.

Mengikut kertas pertuduhan, pembantu kedai runcit, Narayan, didakwa memiliki 62 kilogram dadah berbahaya jenis Cannabis di sebuah rumah di Lahat Mines 1, Bandar Lahat Mines, Ipoh, kira-kira jam 5.15 petang, 4 Oktober lepas.

Puteri Adelia dan Hemamalani pula dituduh bersama seorang lagi yang masih bebas, mengedar dadah berbahaya jenis pil Yaba sebanyak 161 gram di sebuah rumah di Laluan Lahat Mines 4, Bandar Lahat Mines, kira-kira jam 5.30 petang, tarikh yang sama.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 39 B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati.

Mahkamah menetapkan 14 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan
Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azahar manakala ketiga-tiga tertuduh diwakil I Peguam R. Raja Segaran.

Rabu minggu lalu, Suara Perak melaporkan tiga individu termasuk dua wanita dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah tumpas selepas polis merampas ganja dan pil kuda bernilai RM276,102.50 dalam dua serbuan di Bandar Lahat Mines.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tangkapan suspek berusia 21, 26 dan 42 tahun itu dilakukan sepasukan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.