PASIR SALAK, 25 APRIL – Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) diminta untuk memperkasakan kembali program My Kampung, My Future (MKMF) yang pernah dilancarkan pada April 2013 di Kampung Gajah, dekat sini.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata ia kerana program tersebut telah berjaya memberi impak ekonomi desa khususnya kepada penduduk di Mukim Pulau Tiga.

Katanya menerusi MKMF, banyak peluang ekonomi baharu yang telah diterokai antaranya melibatkan sektor bidang makanan, penternakan lembu dan ikan sangkar, pemprosesan makanan, industri kraf tangan serta pelancongan.

“Kita sangat berharap supaya MAFI mengambil serius tentang masa depan program ini kerana program ini terbukti telah berjaya mengisi pembangunan baru di Mukim Pulau Tiga terutama selepas ianya dilancarkan pada 2013.

“Selain itu, menerusi program sama banyak potensi ekonomi baharu yang boleh diteroka dan secara tidak langsung akan menarik minat golongan muda terus kekal tinggal di kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Sambutan Ulang Tahun Ke-8 MKMF Mukim Pulau Tiga yang disambut sederhana di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Nordin berkata MKMF perlu terus diperkasakan seiring dengan perkembangan semasa seperti dengan memberi penekanan terhadap kaedah pemasaran digital, internet of Things atau Internet Benda (IoT) serta pertanian pintar.

“Saya lihat impak COVID-19 ini menyebabkan masyarakat bandar kembali untuk tinggal di kampung-kampung. Ini kerana atas faktor wabak itu sendiri serta impak ekonomi yang memberi kesan kepada mereka.

“Justeru kita harus melatih generasi baru atau golongan pelapis ini supaya kita dapat mengembangkan lagi potensi baru serta meramaikan lagi mereka yang terlibat dengan program-program seperti MKMF,” tambahnya.

Sementara itu, Pengusaha Perniagaan Dodol Opah Yang, Normi Ramli, menyifatkan program MKMF banyak memberi impak terhadap perniagaan yang diusahakan sejak 2013.

Katanya menerusi program tersebut dia dapat mengembangkan lagi perniagaannya warisan keluarganya itu selain berjaya mencecah jualan 1.5 tan dodol atau RM50,000 sebulan.

“Program MKMF ini amat membantu kami sebagai usahawan desa. Daripada kita yang bukan siapa-siapa, dengan usaha dan berkat kita buat kerja perusahaan ini, dia boleh menjadi satu punca pendapatan yang tetap,” ujar Normi.