IPOH, 21 APRIL – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) melancarkan Bank Makanan sebagai inisiatif membantu rakyat di negeri ini yang terputus keperluan makanan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Azam Shaari berkata, Bank Makanan tersebut merupakan program baharu yang diperkenalkan MAIPk untuk kemaslahatan ummah di Perak.

Menurutnya, usaha itu digerakkan bagi memastikan jaminan kelangsungan bekalan makanan bagi golongan miskin untuk membasmi masalah kelaparan dan ketiadaan makanan.

“Dari segi pelaksanaannya, MAIPk melantik masjid sebagai pihak bertanggungjawab untuk menguruskan pusat bekalan makanan dan menjadi sebagai pusat penyaluran bekalan makanan tersebut.

“Kita mahu menjadikan masjid sebagai pusat kebajikan setempat dan bertindak sebagai ejen kepada MAIPk di peringkat kariah masjid,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Shahrul Azam berkata, selain golongan yang terputus bekalan makanan, penerima bantuan kewangan bulanan daripada agensi pemberi bantuan seperti MAIPk, 
Jabatan Kebajikan Masyarakat dan lain-lain turut boleh menerima manfaat bank makanan tersebut.

Menurutnya, selain itu ahli jawatankuasa kariah lantikan pihak masjid juga boleh menentukan penerima bekalan makanan tersebut dalam kalangan ahli kariah yang memerlukan.

Beliau berkata, pelancaran pertama program tersebut telah dilaksanakan di Masjid Al-Aula Simpang Empat, Hutan Melintang pada 19 April lalu yang disempurnakan oleh Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, Dr Khalid Ismail.

“Pelaksanaan ini akan dibuat secara berperingkat dengan empat fasa mengikut daerah yang telah ditetapkan. Bagi fasa pertama, daerah yang terlibat ialah Bagan Datuk, Manjung dan Ipoh.

“Fasa seterusnya akan bermula pada Jun, Ogos dan Oktober tahun ini di semua daerah melibatkan masjid-masjid terpilih di daerah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, jumlah peruntukan yang dikeluarkan oleh MAIPk bagi melaksanakan program tersebut sebanyak RM107,100 membabitkan lebih 3,000 unit keperluan makanan itu.

Shahrul Azam berkata, pihak MAIPk mengharapkan masyarakat memberikan kerjasama dalam pengagihan keperluan makanan tersebut kepada golongan memerlukan.

“Jika terdapat kes-kes ketiadaan makanan di tempat anda silalah berhubung dengan pihak berwajib untuk mendapatkan makanan.

“Masih banyak lagi dana zakat diperlukan. MAIPk mengajak seluruh muslimin dan muslimat mengeluarkan zakat setiap kali sampai haulnya. Wang zakat anda diagihkan untuk ummah,” katanya. – Sinar Harian