IPOH, 4 Jun – Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) melalui anak syarikatnya Maju Perak akan mendapatkan bekalan vaksin Sinovac daripada Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga).

Ia susulan kebenaran kerajaan Persekutuan kepada Pharmaniaga untuk membekalkan tujuh juta dos vaksin tersebut kepada syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan-kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata melalui inisiatif itu, mana-mana pihak secara individu atau syarikat di negeri ini boleh mendapatkan vaksin secara berbayar untuk diberikan kepada pekerja mereka.

“Ketika ini kita sedang menunggu permintaan-permintaan daripada kumpulan-kumpulan tertentu, kerana ia memerlukan modal. Sudah tentu Maju Perak perlu mengetahui sasaran terlebih dahulu bagi membolehkan ada perbincangan dengan Pharmaniaga bagi urusan mendapatkan vaksin itu.

“Selain itu antara kumpulan sasaran kita adalah kepada pihak yang mungkin tidak mahu menunggu sebaliknya sanggup membayar untuk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya pada sidang media secara maya pada Jumaat.

Dalam sidang media terbabit Menteri Besar mengumumkan lima inisiatif kerajaan negeri dengan memfokuskan pemberian vaksin kepada rakyat bagi mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera.

Ianya adalah Program Saringan Covid-19; Inisiatif Vaksinasi Pandu Lalu; Program Outreach Vaksinasi COVID-19; Penyediaan Pengangkutan Kepada Penerima Vaksin; serta Pembelian Vaksin Oleh GLC.

Sementara itu Saarani berkata setakat ini jumlah individu yang berdaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 di Perak menerusi aplikasi MySejahtera berjumlah 889,680 orang iaitu hanya 46 peratus daripada jumlah 1.86 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas.

Katanya dalam usaha meningkatkan jumlah penerima vaksin, di bawah Program Outreach Vaksinasi COVID-19 seramai 2,270 penerima telah divaksin sehingga 1 Jun.

Menurutnya program itu menyasarkan rumah-rumah jagaan warga emas atau jagaan khas selain akan memulakan urusan vaksinasi dari rumah ke rumah bagi warga emas atau orang kurang upaya (OKU) bagi keperluan khas.

Selain itu Saarani berkata kerajaan negeri menyediakan lebih 80 kenderaan pelbagai jenis yang dijangka mampu membawa 1,000 orang ke PPV setiap hari.