KOTA BHARU – Dua anggota polis masing-masing berpangkat lans koperal dan konstabel bukan sahaja memaksa sepasang kekasih berbogel, malah meng­arahkan mereka melakukan hu­bungan seks di dalam sebuah kereta di Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini baru-baru ini.

Lebih keji apabila kedua-dua anggota polis terbabit dipercayai bertindak merakam perbuatan pasangan itu menggunakan tele­fon pintar mereka dalam kejadian pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Kelantan, De­puti Komisioner Shafien Mamat berkata, pasangan itu dipercayai mengikut telunjuk anggota polis selepas mereka diugut akan dihantar ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam

Kelantan (Jaheaik) setelah mengaku duduk berdua-duan di dalam kereta.

Menurutnya, berdasarkan sia­satan, mangsa seorang lelaki berusia 21 tahun itu telah bertunang dengan kekasihnya berusia 20 tahun.

Ketika kejadian, mereka dipercayai berada di dalam sebuah kereta Honda Accord di tepi Jalan Panji di sini pukul 10.45 malam.

“Menyedari kehadiran kereta peronda (MPV) polis jenis Honda Civic yang dinaiki dua anggota berusia 30 dan 35 tahun, pasa­ngan terbabit bertindak beredar dari kawasan itu, namun suspek telah mengekori dan menahan mereka.

“Mangsa lelaki kemudian dibawa masuk ke dalam MPV dan dia telah ditumbuk di te­linga dan dada oleh seorang anggota sewaktu mereka berada di Jambatan Pak Nik Lah di sini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini semalam.

Shafien memberitahu, anggota polis itu kemudian mengugut mangsa supaya memberikan wang jika mahu dilepaskan.

Katanya, mangsa lelaki dibawa menaiki MPV ke sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM), manakala tunangnya menaiki kereta mangsa bersama seorang lagi anggota polis.

“Ketika mangsa lelaki itu mengeluarkan wang, seorang lagi anggota polis membawa wanita tersebut ke kawasan berdekatan masjid di Kemumin, Pengkalan Chepa sebelum dia dipercayai dicabul oleh anggota terbabit.

“Pada masa sama, polis itu juga didakwa memaksa wanita itu melakukan onani terhadap­nya,” ujar beliau.

Beliau berkata, selepas mela­kukan perkara terkutuk itu, suspek kembali ke mesin ATM itu dan membawa kedua-dua mang­sa ke kawasan kilang terbiar di Padang Tembak.

Di lokasi itu, suspek mengarahkan pasangan kekasih terbabit berbogel dan melakukan hubungan seks di dalam kereta.

“Kedua-dua suspek turut me­rakam perbuatan mangsa sebelum meninggalkan mereka di kawasan itu,” katanya.

Ujar Shafien, mangsa lelaki itu juga telah menyerahkan wang sebanyak RM1,250 kepada dua anggota polis terbabit bagi mengelakkan dia dan tunangnya dihantar kepada Jaheaik.

Siasatan awal mendapati, mangsa lelaki dan tunangnya masing-masing bekerja sebagai pembantu sebuah kedai di sini.

“Trauma akibat diperlakukan seperti itu, kedua-dua mangsa akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pukul 1.21 pagi, Ahad lalu.

“Kita sudah menahan kedua-dua anggota polis terbabit. Mereka berasal dari Terengganu dan sudah lebih 10 tahun bertugas sebagai anggota polis,” katanya.

Menurut Shafien, bagaimanapun, pemeriksaan terhadap tele­fon pintar kedua-dua anggota polis itu tidak menjumpai sebarang video hubungan seks membabitkan pasangan kekasih tersebut dan mereka dipercayai sudah memadamnya.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk pemeriksaan lanjut.

“Dua anggota polis itu pula direman selama seminggu hingga 12 Disember ini.

“Siasatan masih diteruskan dan sekiranya ada kes, polis akan serahkan kepada pihak pendakwaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Sek­syen 377C Kanun Keseksaan ke­rana memaksa melakukan onani, Seksyen 354 kanun sama atas kesalahan mencabul serta Seksyen 384 kanun sama iaitu pemerasan.