SEBERANG PERAK, 21 DIS – Malaysia berpotensi untuk menjadi hub industri teknologi roket dan kenderaan pelancar satelit di Asia Tenggara.

Ini kerana Malaysia mempunyai pelbagai kemudahan yang diperlukan seperti peralatan, ruang kerja, permit dan kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Equatorial Space Systems (ESS) yang berpengkalan di Singapura, Simon Gwozoz berkata, Malaysia juga mempunyai rakan kerjasama yang baik untuk melancarkan roket yang lebih selamat dan mampu milik.

“Dengan teknologi ini, kami merancang untuk meluaskan lagi pencapaian manusia di angkasa, menjadikannya lebih selamat dan mampu.

“Saya tidak nampak mengapa Asia Tenggara tidak boleh menjadi hub ekonomi pelancaran roket di masa depan.

“Dan Malaysia juga berpotensi, dengan sinergi yang menakjubkan dan kami pasti akan datang lagi,” katanya.

Beliau ditemui selepas ujian pelancaran Roket Demonstrator Altitud Rendah di Felcra Seberang Perak, di sini, hari ini.

Ujian itu dilakukan dengan kerjasama antara ESS, Universiti Teknologi Mara, MTC Engineering Sdn. Bhd dan Universiti Sains Malaysia.

Ketua Lab UiTM-MTC HEMREL, Dr Zuraidah Salleh berkata, lebih banyak ujian akan diadakan di tahun-tahun akan datang.

“Alhamdulillah dengan kerjasama ini kita berjaya lancarkan roket yang sepanjang 1.5 meter pagi ni.

“Semua sistem dibangunkan oleh ESS dan kami UiTM and MTC menyediakan peralatan tempat dan lab di UiTM untuk menyokong program ini.

“Insya Allah tahun hadapan. kita akan adakan lagi program yang seperti ini, dengan lebih terkini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar MTC Ketua operasi MTC, Lt Kol (Bersara) Ir Mohammad Juani Sujana berkata, melalui kerjasama itu, pihaknya akan
cuba mendapatkan lebih pengetahuan dan pendedahan mengenai teknologi yang dibawa.

“Pada asasnya teknologi yang dibawa nampak biasa tetapi ESS mempunyai resepi rahsia mereka.

“Melalui kerjasama ini, kita juga dapat membuat usaha bagaimana kita boleh berkoloberasi di masa akan datang.

“Saya rasa kalau kita nak buat sendiri memang tak mampu dan kita mengharapkan banyak aktiviti selepas ini daripada Singapura,” katanya.

Penglibatan universiti dan syarikat tempatan dengan ESS juga secara tidak langsung akan membuka peluang untuk terlibat dalam rantaian ruang ekonomi antarabangsa baru yang bernilai RM 1.7 trilion, tahun lalu.