MENONGKAH arus menceburi kerjaya dalam bidang maritim yang dimonopoli golongan lelaki sememangnya bukan mudah bagi wanita.

Apatah lagi menceburi bidang yang kurang popular namun berisiko tinggi seperti malim pelabuhan.

Namun, bagi Kapten Nurul Arrienne Muhamad Yusoff, alah bisa tegal biasa kerana di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalannya.

Anak kepada pasangan polis dari Ipoh, Perak, itu kini boleh berbangga kerana dia adalah satu-satunya malim pelabuhan wanita daripada 45 malim pelabuhan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor dan pertama di Malaysia.

Mengulas lanjut pembabitannya dalam bidang berkenaan, wanita berusia 29 tahun yang bergelar ‘Pilot’ itu berkata, semuanya bermula apabila ibunya terbaca sebuah blog mengenai kerjaya dalam bidang maritim.

Usai tamat persekolahan dengan dorongan keluarga, Nurul Arrienne kemudiannya menyambung pelajaran di Akademi Laut Malaysia (ALAM), Melaka di peringkat diploma dalam jurusan Pengajian Nautika, ditaja syarikat perkapalan MISC.

“Pada tahun kedua, saya menjalani latihan praktikal di atas kapal milik MISC selama setahun sebagai kadet navigasi dan sebaik sahaja tamat pengajian, saya meneruskan karier sebagai Pegawai Navigasi.

“Hampir empat tahun saya menimba pengalaman sebagai Pegawai Ketiga (Navigasi) dan destinasi pelayaran kebanyakannya di sekitar Asia Timur.

“Apabila terbaca mengenai pengambilan malim pelabuhan oleh PTP, saya segera memohon dan selepas melalui temuduga serta beberapa peperiksaan,Alhamdulillah, diterima sebagai malim pelabuhan pada tahun 2018,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut anak sulung daripada dua beradik itu lagi, secara amnya, tugas dan peranan malim pelabuhan adalah mengemudi serta memastikan kapal keluar masuk pelabuhan dengan selamat.

MALIM pelabuhan wanita pertama di Malaysia, Nurul Arrienne.

Ini kerana, tidak kira apa juga saiznya, kapal perlu dikendali dengan teliti apabila memasuki pelabuhan bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Kata Nurul Arrienne, jadual kerjanya adalah mengikut shif iaitu dua hari shif siang, dua hari shif malam dan dua hari rehat.

Shif siang bermula dari jam 7 pagi hingga 7 malam dan shif malam bermula 7 malam hingga 7 pagi.

Seperti rakan setugas lain, dia juga menerima arahan daripada pusat kawalan pelabuhan mengenai maklumat tempahan pergerakan kapal untuk dikendalikan dan biasanya ia dilakukan secara solo tanpa pembantu.

Katanya, malim pelabuhan akan bergerak menaiki Bot Malim ke kapal yang terletak di dalam batas pelabuhan kira-kira setengah jam awal daripada waktu tempahan pergerakan kapal.

“Sebaik tiba di kapal, malim pelabuhan akan memanjat naik ke kapal dan memasuki anjungan untuk membantu kapten (nahkoda) mengemudi memasuki alur pelayaran untuk ke destinasi yang ditetapkan.

“Ia tidaklah semudah yang disangkakan kerana kami perlu berwaspada dengan pelbagai perkara termasuk keadaan cuaca, arus lautan keladajuan angin contohnya jika melebihi 25 knots, kapal tidak dibenarkan merapati atau keluar dari dermaga sehingga keadaan mengizinkan.

“Selain itu, jarak penglihatan juga penting dan bagi saya mengemudi kapal pada sebelah siang lebih jelas kerana boleh ‘keliru’ dengan jarak sebenar pada sebelah malam.

KAPTEN Akashah mendengar taklimat daripada Nurul Arrienne di Bahagian Perkhidmatan Marin, PTP.

“Dalam hal itu, malim pelabuhan perlu sentiasa berhubung dengan pusat kawalan menggunakan walkie-talkie dan VHF kapal memandangkan PTP antara pelabuhan paling sibuk di rantau ini ,” katanya yang mengendalikan secara purata tiga kapal sehari.

Nurul Arrienne turut mengakui pada awal pembabitannya, ada kapten kapal yang terkejut apabila melihat kelibat malim pelabuhan wanitaƔyang menaiki kapal mereka namun lama kelamaan, situasi sudah tidak sekekok dahulu.

Ini kerana katanya, di negara barat, wanita menggalas tanggungjawab sebagai Malim pelabuhan adalah perkara biasa justeru dia mahu mempromosikan lagi kerjaya itu kepada wanita di negara ini.

“Ramai wanita yang tidak tahu langsung mengenai peluang kerjaya dalam bidang maritim khususnya malim pelabuhan sedangkan bidangnya luas untuk diteroka selain menyediakan masa depan yang cerah.

“Dengan pendedahan ini, saya harapkan akan lebih ramai golongan muda terutama wanita untuk menceburi bidang ini kerana ia menjanjikan peluang kerjaya dan kepuasan yang tersendiri,” katanya.

TUGAS dan peranan malim pelabuhan adalah untuk mengemudi serta memastikan  kapal keluar masuk pelabuhan dengan selamat.

Biarpun menjadi satu-satunya malim pelabuhan wanita di negara ini namun Nurul Arrienne tidak pernah mendabik dada malah mengakui masih perlu banyak belajar dan menjadikan ketuanya, Kapten Akashah Md Dom sebagai idola.

Wanita kecil molek setinggi 160 sentimeter itu juga mahu mencapai cita-citanya memiliki lesen A (UR) dalam masa terdekat sebelum menimang cahaya mata.

Isteri kepada Mohd Shafeq Bada Rokman, 33, yang juga kakitangan pelantar lautan itu ketika ini memiliki lesen B yang melayakkannya mengemudi kapal sehingga saiz 175 meter (m).

Katanya, selepas B, ada dua lagi tahap iaitu lesen A2 dan A1 sebelum lesen yang paling diimpikan oleh semua malim pelabuhan iaitu A (UR).

“Lesen berkenaan membolehkan seseorang Malim pelabuhan mengemudi dari sekecil kapal hingga ke bersaiz mega.

“Besar harapan saya semoga impian itu tercapai sebelum usia menginjak 30 tahun, tahun hadapan,” katanya mengakhiri perbualan. – HARIAN METRO