KUALA KANGSAR, 2 MAC – “Esok awak pergi sekolah macam biasa. Mama janji bawa papa”

Itu kata-kata yang diungkapkan Siti Rayahu Norji, 36 kepada Muhammad Haikal Iskandar Zamrii, 18, apabila anak sulungnya tidak dapat menahan emosi akibat kehilangan bapa tercintanya.

Sebelum ini video Haikal tular di media sosial apabila ia memaparkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu merapati menatap wajah terakhir jenazah bapanya yang singgah dengan menaiki van jenazah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, di sini.

Siti Rahayu berkata pada malam sebelum itu anaknya berkeras untuk melihat dan menguruskan jenazah arwah bapa, Zamrii Abd Halim, 42.

Namun katanya dia menenangkan anaknya dengan meminta Haikal untuk memberi fokus kepada peperiksaan SPM selain berjanji untuk membawa jenazah bapanya singgah ke sekolah sebelum dikebumikan.

“Pukul 3 pagi saya telefon cikgu sekolah. Saya beritahu kepada cikgu yang Haikal sudah ‘buat perangai’. Dia kata dia tak nak pergi peperiksaan. Saya minta izin cikgu dan saya sudah berjanji dengan Haikal untuk bawa jenazah (ayah) ke sekolah.

“Sekejap pun jadilah. Haikal kena tengok (jenazah ayahnya). Sebab masa ayahnya koma, dia tak dapat tengok,” kata Siti Rahayu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tahan, Chegar Galah di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu Siti Rahayu berkata arwah suaminya dikejarkan ke Hospital Taiping pada 18 Februari selepas mengadu sakit kaki sebelum disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah.

Katanya anak lelaki tunggal daripada tiga anaknya itu kini lebih mendiamkan diri dan memendam rasa sedih.

Walau bagaimanapun ujarnya Haikal tekad mahu membantu menyara keluarganya memandangkan Siti Rahayu tidak mampu melakukan kerja-kerja berat kerana lemah kedua-dua tangannya susulan kemalangan yang pernah dialaminya sebelum ini.

“Dia ada kata yang selepas ini dia mahu cari kerja. Mahu tolong mama sebab keluarga sudah tidak ada sumber pendapatan. Saya katakan terpulang kepada awa, mama tak nak paksa awak. Sebab saya tahu jiwa dia tertekan,” katanya lagi.

Terdahulu Siti Rahayu menerima cek Faedah Pencen Penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) RM592 setiap bulan dan Faedah Pengurusan Jenazah RM2,000 yang disampaikan Pengurus PERKESO Kuala Kangsar, Noriah Abd Karim.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Zainun Mat berkata pihaknya sentiasa mengambil perhatian soal kebajikan keluarga tersebut selain bersedia untuk memberi bantuan kecemasan lain yang diperlukan Siti Rahayu.