Ipoh, 1 MAC : Polis sedang mengesan 23 warga asing yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja kilang pakaian antarabangsa di Pangsapuri Anjung Tawas Damai di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, usaha itu dilakukan pihaknya bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta dengan dibantu pengurusan kilang berkenaan sebaik mendapati mereka tiada di asrama.

“Kita andaikan mereka ini duduk (tinggal) dengan rakan yang menetap di luar kawasan PKPD terbabit. Kita tidak boleh juga kata mereka ingin lari, namun mungkin penutupan kilang itu sejak 24 Februari lalu menyebabkan mereka ‘terkandas’.

“Bagaimanapun, kami memuji tindakan awal pihak pengurusan kilang terbabit yang menghantar beberapa pekerjanya menjalani saringan di pusat perubatan swasta susulan menunjukkan gejala Covid-19 sejak 22 Februari lagi,” katanya dalam sidang media di pos kawalan tempat Kejadian (PKTK) PKPD terbabit, hari ini.

Semalam, media melaporkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD selama 14 hari bermula hari ini di asrama pekerja terbabit dengan 524 ujian saringan dibuat mendapati 213 orang dilaporkan positif Covid-19.

Menurutnya, usaha menghubungi warga asing berkenaan sedang giat dijalankan termasuk dengan menghubungi rakan serta kenalan mereka.

Katanya, terdapat 477 penduduk yang menghuni pangsapuri dengan 90 unit kediaman itu dengan majoriti iaitu 439 merupakan pekerja kilang terbabit.

“Kita turut menempatkan 17 lagi pekerja kilang itu yang menetap di sekitar pangsapuri terbabit untuk sama-sama menjalani PKPD di situ dengan mereka memberi kerjasama tanpa membantah,” katanya.

Sementara itu, melalui maklumat yang tercatat pada papan kenyataan PKTK itu, setakat ini 377 sudah dilaporkan positif Covid-19 dengan 334 daripadanya dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) 2.0 di Serdang, Selangor. – Harian Metro