IPOH, 8 JAN : Cuaca cerah sejak semalam menyebabkan keadaan banjir di Perak bertambah baik dan jumlah mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berkurangan kepada 145 orang, berbanding 359 orang pada sebelah pagi.

Menurut jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak, bilangan PPS turut berkurang menjadi hanya tiga sehingga jam 5 petang ini.

Tiga PPS yang masih beroperasi ialah di Dewan MPTI Teluk Intan, Dewan Orang Ramai Kampung Perah, Gerik dan Dewan Orang Ramai Kampung Tanjung Aur, Bota Kiri.

“PPS Dewan MPTI Teluk Intan yang dibuka sejak 4 Januari lalu masih menempatkan 120 mangsa dari 31 keluarga di tiga buah kampung iaitu Kampung Batu 9, Kampung Baru 3 dan Batu 10 Jalan Bidor,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Perah yang dibuka 6 Januari lalu menempatkan 16 mangsa dari lima keluarga manakala PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Tanjung Aur yang dibuka semalam, terdapat sembilan mangsa dari tiga keluarga.