IPOH – Bilangan mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 307 orang, setakat jam 12 tengah hari ini dengan penambahan sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah Perak Tengah.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang telah dibuka di negeri ini sebanyak empat buah dengan dua PPS di daerah Kerian dan satu PPS di satu di daerah Manjung yang masih dibuka untuk menempatkan mangsa bencana banjir.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBD) berkata sebanyak 87 buah keluarga melibatkan 307 orang mangsa yang berlindung di keempat-empat PPS tersebut.

“Sebanyak 19 mangsa dari lima buah keluarga telah di tempatkan di PPS Surau Nurul Jannah, Kampung Parit 6, Layang-Layang Kiri, Parit pada tengah hari tadi.

“Kemaskini bilangan mangsa banjir di daerah Kerian di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak mendapati bilangan keluarga dan mangsa masih sama iaitu 16 buah keluarga dan 74 orang mangsa, manakala PPS Sekolah Alor Pongsu pula menunjukkan peningkatan kepada 25 buah keluarga melibatkan 77 orang mangsa.

“PPS Sekolah Kebangsaan Beruas di Manjung juga mencatatkan pertambahan mangsa menjadi 41 buah keluarga dan 137 orang masih berlindung di sana,” ujar beliau ketika dihubungi Suara Perak.