LUMUT, 19 Julai – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 100 kilogram (kg) ikan ketutu dan ikan kelah dari Indonesia tanpa permit yang sah di Pelabuhan Lumut di ini pada Isnin.

Dalam satu kenyataan MAQIS Perak memaklumkan hasil pemeriksaan rutin ke atas peti-peti ikan import mendapati, satu daripadanya tidak mempunyai permit import.

“MAQIS mendapati, satu peti seberat 100 kg yang berisi 90 kg ikan ketutu dan selebihnya ikan kelah telah ditemui tanpa Permit Import MAQIS.

“Kesemua barangan tersebut yang dianggarkan bernilai RM10,000 telah ditahan untuk tindakan lanjut. Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa Permit Import yang dikeluarkan MAQIS adalah merupakan suatu kesalahan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Tambahnya jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

“MAQIS sentiasa komited dalam menjalankan penguatkuasaan di pintu-pintu masuk negara dan berharap pihak pengimport sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan keselamatan makanan negara terjamin dan terpelihara,” ujarnya lagi.