IPOH, 9 Feb: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk pokok kaktus di Pejabat Pos Besar Ipoh di sini semalam.

Menurut Pengarah MAQIS Perak, Rozita Superman, keluaran pertanian itu ditahan selepas pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak MAQIS di pusat mel dan kurier.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dilakukan dengan kerjasama daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendapati terdapat satu kotak berisi 50 pokok pelbagai jenis kaktus yang diimport dari negara Thailand.

“Ia dianggarkan bernilai RM4,000 dan ditahan untuk tindakan lanjut kerana tiada sebarang dokumen permit import yang sah daripada Jabatan MAQIS dan sijil fitosanitasi.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import dikeluarkan MAQIS adalah merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 11(2) Akta yang sama,”katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tegasnya, pihak MAQIS akan mengambil tindakan yang tegas bagi mana-mana individu yang cuba membawa masuk sebarang barang pertanian.

Ia bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.