LUMUT, 16 MAC : Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah menahan dua tong yang membawa masuk telur sotong katak dari Indonesia, di pintu masuk MAQIS Pelabuhan Lumut, di sini semalam.

Menurut Pengarah MAQIS Negeri Perak, Rozita Superman, hasil pemeriksaan rutin oleh pegawai MAQIS ke atas tong ikan tersebut mendapati terdapat 20 kotak telur katak sotong sejuk beku ditemui di dalam tong ikan tanpa permit import MAQIS yang sah.

“Ianya seberat 160 kilogram, kesemua barang dagangan tersebut yang dianggarkan bernilai RM4,800 telah ditahan untuk tindakan lanjut,”katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import dikeluarkan MAQIS adalah merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

Ujarnya, pihak MAQIS sentiasa komited dalam menjalankan tugas di pintu-pintu masuk negara.

Ia bagi memastikan sebarang kemasukan produk pertanian, perikanan dan haiwan sentiasa dipatuhi bagi menjamin keselamatan makanan negara.