IPOH: Rangkaian pusat perniagaan telefon dan alat elektronik Bumiputera, MARA Digital akan memperhebatkan usaha untuk memperluaskan cawangannya ke beberapa negeri di seluruh negara mulai Oktober ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, ianya akan dimulakan selepas beroperasinya MARA Digital@Kuantan pada penghujung Oktober, disusuli dengan rangkaian kedai peralatan digital itu di Johor, Melaka dan Kelantan.

Ismail Sabri berada di Ipoh, hari ini, untuk melancarkan MARA Digital@Ipoh di Bazar MARA Medan Jaya yang terletak berhampiran Medan Kidd di sini.

Beliau berkata, penubuhan rangkaian Mara Digital itu bermatlamat melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam bidang perniagaan perkakas dan gajet digital teknologi komunikasi dan maklumat (IT).

“Kita sering menghadapi masalah dalam penetapan harga runcit semasa kerana kita berdiri secara bersendirian dan menjadi kelompok minoriti di tengah-tengah kuasa besar bukan Bumiputera.

“Takkan selama-lamanya kita menjadi pembeli semata-mata, oleh itu pengwujudan MARA Digital ini memberi satu kedudukan lebih stabil kepada usahawan Bumiputera untuk menjadi pemain industri dalam bidang ICT dan teknologi.

“Bermula Oktober ini, MARA Digital akan berusaha sehabis baik dalam memperkenalkan MARA Digital di seluruh negara,” katanya kepada pemberita di Majlis Pelancaran MARA Digital@Ipoh di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yakin dengan kemampuan MARA Digital@Ipoh untuk memacu kejayaan usahawan Bumiputera setempat walaupun baru dua bulan beroperasi.

Jelasnya, kejayaan MARA Digital di Kuala Lumpur dan Selangor boleh menjadi kayu pengukur apabila merekodkan lebih satu juta pengunjung, dengan jualan melebihi RM 18 juta.

“MARA Digital@Ipoh merupakan yang ketiga ditubuhkan selepas Kuala Lumpur dan Shah Alam, terdapat lebih kurang 20 gerai jualan di sini serta perkhidmatan berasaskan IT,” katanya.

Pelabur dan pembekal di MARA Digital terdiri dari jenama-jenama besar seperti Acer, Asus, Lenovo, Digi dan Maxis.