LUMUT, 17 Sept: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah bot pukat tunda kelas B kerana melanggar syarat sah lesen di posisi 4.5 batu nautika barat daya Pulau Pasir Hitam, di sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan berkenaan dilakukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Benteng dan Op Pintas di persempadanan perairan Perak.

“Ketika ditahan, bot yang dikendalikan dua kru warga tempatan berusia 58 dan 69 tahun itu sedang melakukan aktiviti perikanan berhampiran Pulau Pasir Hitam.

“Mereka menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada lima batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, bot bersama kru serta hasil tangkapan dianggarkan kira-kira 50 kilogram dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu dan tiba sekitar jam 12 tengah hari semalam untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Perak bagi tindakan lanjut.

Shahrizan berkata pada hari yang sama,sebanyak 50 set bubu naga telah dirampas di sekitar perairan Pulau Pasir Hitam berikutan hasil rondaan dan pengesanan oleh anggota bot dalam operasi yang sama kira-kira jam 9.30 pagi.

“Dengan anggaran harga RM120 setiap unit, nilai keseluruhan 50 bubu naga itu dianggarkan bernilai hampir RM 6,000 dirampas dan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3) (c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,” ujarnya lagi.

Justeru katanya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.