SUNGAI SIPUT, 8 Mei – Masalah banjir yang membelenggu lebih 300 orang penduduk di sekitar Sungai Siput, khususnya ketika musim hujan akan ditangani secara menyeluruh dengan kadar segera.

Penyelaras Parlimen Sungai Siput, Tan Sri S. A Vigneswaran berkata perkara itu turut diajukan kepada Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad untuk tindakan lanjut.

“Masalah banjir yang melanda Sungai Siput minggu lalu, sudah beberapa kali khususnya bila ‘monsun rain’, masalahnya ialah saliran air untuk ke sungai agak sempit.

“Saya sudah berjumpa dengan Timbalan Menteri, Datuk Masrizal pada Isnin lalu dan beliau berjanji akan melawat kawasan yang terjejas itu.

“Jika perlu beliau atau Kementeriannya akan menghulurkan bantuan supaya masalah banjir dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau yang juga Presiden MIC berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Jelajah Ihya Ramadan Ehsan 2021 di Dewan Konvensyen Sungai Siput, di sini pada Sabtu.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ehsan, Datuk Abdul Hamid PV Abdu.

Dalam pada itu, Vigneswaran menambah, beliau dan Exco Infrastruktur Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun telah turun padang ke kawasan terbabit untuk melihat sendiri masalah tersebut.

“Kami telah pergi ke kawasan Taman Muhibbah dan berjumpa dengan penduduk di situ, selain bertanyakan masalah banjir serta banjir kilat baru-baru ini yang membabitkan antara 60 hingga 70 buah rumah.

“Jalan penyelesaian yang kita bincangkan ialah seperti membuat satu lagi saluran air menuju ke sungai yang sebelum ini hanya ada satu sahaja, tetapi sempit dan sudah berubah sejak dua tahun lalu,” katanya.

Terdahulu dalam program itu, Vigneswaran dan Abdul Hamid menyampaikan bantuan sempena Ramadan kepada golongan asnaf dan kurang bernasib baik dalam kalangan pelbagai bangsa.

Seramai 200 orang dari kawasan Sungai Siput menerima bantuan berupa beras dan sumbangan wang tunai RM 200.