BAGAN DATUK, 20 APRIL : Tragedi amuk yang mengorbankan tiga anak­nya pada hari pertama umat Islam berpuasa tiga tahun lalu tidak pernah hilang dari ingatan Zuraidah Md. Ali.

Dalam kejadian pada petang 17 Mei 2018 itu, Zuraidah, 38, kehilangan tiga anaknya iaitu Muhammad Firash Zariff, 3; Muhamad Faqih Zahirul Haq, 5; dan Nur Zia Fasihah berusia setahun 7 bulan.

Kejadian amuk oleh seorang lelaki turut menyebabkan Zuraidah cedera parah sementara seorang lagi anaknya, Nur Zurin Faziera dan dua penduduk kampung termasuk seorang murid tahun tiga, cedera.

Setelah seminggu mengha­rungi Ramadan kali ini, Zuraidah mengakui ingatannya terhadap tragedi itu dan anak-anaknya yang sudah meninggal dunia semakin kuat.

Menurutnya, kerana tragedi itu, dia masih tidak mampu menjejakkan kaki ke rumah tempat berlakunya kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Muhamad, Selekoh dekat sini.

“Selepas kejadian itu, saya belum mendapat kekuatan untuk pulang ke rumah itu. Buat sementara waktu, saya dan suami serta anak tinggal di rumah bapa mentua di Kampung Su­ngai Timah, Seberang Perak.

“Cuma sesekali kami akan datang ke sini untuk membersihkan rumah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia bersama suaminya, Mohd. Fadzil Mohamad, 36, di Kampung Sungai Haji Muhamad, Selekoh dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, kenangan menjalani ibadat berpuasa bersama anak-anaknya yang sudah tiada, tidak dapat dilupakan begitu saja.

“Rumah ini banyak kenangan manis bersama anak-anak saya yang sudah tiada terutama anak yang sulung, Muhammad Fagih. Dia seorang anak yang rajin, apabila di bulan Ramadan dia berpuasa penuh, rajin solat.

“Saya masih ingat, sehari sebelum kejadian, Muhammad Fagih awal-awal lagi mengingatkan saya dan suami bahawa esoknya akan mula puasa,” katanya.

Kejadian amuk itu turut menyebabkan Zuraidah yang cede­ra parah, mengalami kecacatan pada tangan dan paha dan me­ngakui masih terasa sakit dan tidak mampu melakukan kerja-kerja rumah.

Menurutnya, kerja rumah se­perti memasak, membasuh serta rutin harian yang lain perlu dibantu suaminya.

“Akibat kecederaan yang saya alami, saya terlantar selama enam bulan dijaga emak mentua di rumahnya. Saya dibantu oleh suami dan keluarganya,” katanya.

Menurutnya, dia akan cuba untuk menguatkan semangat demi membesarkan dua anak­nya, Nur Zurin Faziera, 12; dan anaknya yang berusia setahun enam bulan, Muhammad Firhaq el Ziedan.

“Muhammad Firhaq pengganti kepada anak-anak saya yang sudah tiada,” katanya. – UTUSAN