IPOH: Masjid Kampung Paloh yang terletak di Jalan Datoh di sini bukan sekadar warisan Melayu di bandar raya ini namun ia juga merupakan simbol perpaduan golongan pembesar dan bangsawan Orang Melayu sewaktu ketika dahulu.

Antara individu penting dalam pembinaan masjid yang melangkau usia 109 tahun itu adalah Orang Kaya-Kaya Dato’ Seri Adika Raja Wan Muhammad Saleh Wan Abu Bakar dan isteri, Toh Puan Sharifah Rodiah Duakap; Dato Panglima Bukit Gantang Mahmud Mohd Taib serta Long Mohd Kassim Ngah Banja Jugra.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kampung Paloh (Warisan), Fazil Shuhaimi Taib, Wan Muhamamd Salleh merupakan Ketua Penghulu dan Pembantu Pemungut Hasil Tanah semasa pentadbiran Frank Swettenham.

Katanya Toh Puan Sharifah pula telah mewakafkan sebahagian besar tanah miliknya untuk masjid tersebut.

Sementara Mahmud Mohd Taib adalah datuk kepada Menteri Besar Perak yang pertama dan Long Mohd Kassim pula adalah seorang hartawan, yang merupakan cucu kepada Panglima Kinta Ngah Sudin.

“Masjid ini (simbol) muafakat pembesar Orang Melayu di Ipoh sewaktu ketika dahulu. Mereka yang terdiri daripada beberapa keluarga ini telah bekerjasama membina Masjid Kampung Paloh.

“Selain itu, hasil permuafakatan mereka, ada antara ahli keluarga mereka yang berkahwin silang. Oleh ia menunjukkan orang-orang besar Melayu yang tinggal di sini hidup secara harmoni,” katanya ketika ditemui Suara Perak.

Kubur Menteri Besar Perak pertama

Mohd Fazil berkata bagi mengenang jasa mereka-mereka yang terlibat dalam pembinaan Masjid Kampung Paloh, kawasan tanah perkuburan yang terletak bersebelahan dengan bangunan utama masjid dikhususkan kepada mereka dan ahli-ahli keluarga.

Antara tokoh yang disemadikan di tanah perkuburan itu adalah Menteri Besar Perak yang pertama, Datuk Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz serta kubur tertua yang di situ dipercayai milik Tok Paloh, individu yang membuka Kampung Paloh.

Seni bina unik

Masjid Kampung Paloh yang dibina ketika pemerintahan Sultan Idris Murshidul Al-Azam Shah mempunyai seni bina unik yang mana ia melibatkan campuran unsur seni bina Melayu, Inggeris seta Jawa.

Mohd Fazil menjelaskan seni Inggeris terdapat pada struktur 76 tiang empat segi sementara puncak menara masjid yang diperbuat daripada struktur kayu dipengaruhi dengan seni bina Melayu.

“Unsur seni bina Jawa dapat dilihat pada struktur atap masjid yang mana ia dibina menggunakan atap tumpang tiga tingkat. Ia membawa maksud, Islam, Iman dan Ishan,” katanya.

Tambah beliau selain mimbar masjid yang diukir indah, lantai masjid sebahagian besarnya turut diperbuat daripada batu marmar buatan Itali.

Selain itu, Mohd Fazil berkata Masjid Kampung Paloh itu turut mempunyai sebuah madrasah yang diberi nama Madrasah Sharifah yang mana berfungsi sebagai pusat pengajian Islam.

Warisan Melayu di Ipoh

Mohd Fazil menegaskan bahawa penting untuk Masjid Kampung Paloh terus dipelihara kerana mempunyai nilai sejarah yang besar.

“Jika kita hendak mencari nilai warisan Melayu di Ipoh, setakat ini Masjid Kampung Paloh adalah satu-satunya yang masih dijaga. Ini jelas dari segi sejarah dan seni binanya.

“Sekiranya tiada usaha untuk terus memelihara struktur asal masjid ini, besar kemungkinan anak cucu kita tidak akan sedar bahawa adanya bukti awal penempatan orang Melayu di Ipoh,” tegas beliau.