IPOH, 4 Mei – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan semua masjid dan surau di Perak supaya mengadakan solat hajat dengan membaca qunut nazilah selepas menunaikan solat Jumaat minggu ini.

Ia bagi memohon ke hadrat Allah agar memberikan perlindungan dan keselamatan daripada ancaman wabak COVID-19.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK), Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, baginda sangat prihatin dan
menzahirkan kebimbangan mengikuti bilangan kes pesakit COVID-19 yang semakin meningkat dengan angka yang besar.

“Baginda menzahirkan penghargaan kepada para petugas di barisan hadapan terutama, para doktor, jururawat dan kakitangan sokongan kesihatan dan perubatan yang menghadapi tekanan di samping menghadapi risiko yang besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Sultan Nazrin menasihatkan rakyat agar menyesuaikan diri dengan norma baharu semasa melakukan persiapan untuk menyambut Hari Raya.

Di samping itu, katanya, baginda turut menasihatkan rakyat supaya menjauhkan diri berkunjung ke tempat yang terdapat perhimpunan yang ramai, serta tanpa kompromi mematuhi prosedur operasi menurut yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Di samping usaha-usaha kesihatan dan perubatan yang dilakukan, baginda menzahirkan titah agar rakyat memohon sebaik-baik dan sebesar-besar pertolongan daripada Allah SWT,” ujarnya.