LUMUT, 5 Sept: Pandemik yang melanda dunia tidak menghalang semangat kerjasama dan diplomasi pertahanan di antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Tentera Laut Diraja Australia (TLDA).

Kerjasama itu dibuktikan menerusi pelaksanaan Malaysia-Australia Sea Training Exercise (MASTEX) 2021 di sekitar perairan Selat Melaka, baru-baru ini.

Eksesais bilateral tahunan berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) ini berlangsung selama tiga hari mulai Khamis hingga Sabtu lalu.

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, Lumut pada Ahad, eksesais yang wujud sejak tahun 2002 ini bertujuan memperkukuhkan interoperability (saling kebolehoperasian).

Di samping kerjasama strategik pertahanan maritim melalui kaedah perkongsian idea dan kepakaran di lapangan.

“Mendepani pandemik, kedua-dua angkatan laut terus mempamerkan komitmen menerusi penglibatan 3 buah aset oleh TLDM, iaitu KD LEKIU, KD JEBAT serta helikopter SUPER LYNX.

“Dan empat buah aset oleh TLDA iaitu HMAS CANBERRA, HMAS ANZAC serta helikopter CH47 dan MH-60S dari Australian Maritime Task Group.

“Turut serta menjayakan eksesais adalah 2 buah pesawat F/A 18D dan 2 buah pesawat HAWK TUDM,” ujar kenyataan itu.

Ujarnya lagi, beberapa siri latihan telah direalisasikan membabitkan peperangan anti-serangan udara, anti-kapal selam, penembakan sasaran permukaan, manuvra taktikal dan pengoperasian bot.

Di samping itu, kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut.

“Secara keseluruhan eksesais kali ini berjaya memenuhi matlamat dan objektif yang telah ditetapkan.

“TLDM akan terus komited memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut sahabat dalam memacu ketersediaan warga untuk melindungi serta mempertahankan kepentingan maritim negara pada bila-bila masa,”katanya lagi.