KUALA LUMPUR, 1 OKT : Jabatan Muzium Malaysia (JMM) mensasarkan 5,000 pengunjung pada bulan pertama pembukaan semula Muzium Negara, mulai esok.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, sempena pembukaan itu, tiket kemasukan percuma diberikan kepada pengunjung bermula esok sehingga 8 Oktober ini.

“Sebagai satu cara menarik kehadiran orang ramai, 10 pengunjung pertama pada 2 Oktober akan diberikan hadiah misteri manakala 2,000 pengunjung pertama akan diberikan minuman.

“Tempahan untuk sebelah pagi hingga tengah hari esok, sudah penuh diterima menerusi sistem e-temujanji,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan persiapan dan prosedur operasi standard (SOP) di Muzium Negara, hari ini.

Beliau berkata, sejumlah kakitangan muzium akan memantau pematuhan SOP pengunjung bagi mengelak sebarang risiko penularan COVID-19.

“Sejumlah kakitangan muzium akan berperanan sebagai pengawal pemerhati untuk memantau pematuhan SOP pengunjung kerana kita tidak mahu berlaku jangkitan.

“Hanya 60 pengunjung saja dibenarkan masuk ke muzium dalam tempoh sejam lawatan dan pengunjung lengkap vaksinasi saja dibenarkan masuk ke galeri Muzium Negara,” katanya.

Katanya, sebanyak 50 program menarik turut disediakan untuk pengunjung sehingga penghujung tahun ini.

“Beberapa program diadakan secara maya atau fizikal antaranya Pameran Wajah-Wajah Malaysia secara maya bermula 15 Oktober, Pameran Nostalgia Anak Kampung, Pameran Dunia Aminasi Kanak-Kanak, Jejak Perwira dan banyak lagi,” katanya.

Orang ramai yang ingin berkunjung ke Muzium Negara digalakkan mendaftar melalui sistem e-temujanji di laman web JMM sekurang-kurangnya sehari sebelum kunjungan. – BERITA HARIAN