TELUK INTAN, 14 Mei – Mayat seorang lelaki dengan keadaan lengan tangan kanan hampir putus dan berlumuran darah ditemui di sebuah kawasan semak di Tapak Pembinaan Perumahan Taman Desa Maju Perak di Langkap dekat sini pada semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata penemuan mayat yang berusia 29 tahun itu oleh pihak Polis ekoran aduan orang awam sekitar jam 9 malam.

Katanya, ketika ditemui mayat yang lengkap berpakaian dan berada dalam keadaan mengiring itu beralamat di Kampar dan merupakan seorang penganggur.

Menurutnya hasil siasatan awal mendapati, sebelum kejadian yang berlaku sekitar jam 6.45 petang, mangsa dan tiga rakannya sedang minum di sebuah kedai kosong yang berhampiran sebelum mereka didatangi lapan lelaki lain.

“Semasa kejadian, mangsa sedang minum bersama dengan tiga lagi rakannya. Tiba-tiba datang dua buah kenderaan yang dinaiki lapan lelaki telah turun menyerang mangsa dan rakan- rakannya. Ia menyebabkan mangsa dan rakan rakannya melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Selain itu Ahmad Adnan berkata mangsa maut akibat ditetak manakala dua rakannya cedera di mana masing-masing putus tiga jari tangan kiri dan cedera pada lengan tangan kanan.

Susulan itu katanya kedua-dua mangsa berusia 25 dan 19 tahun telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan kecemasan.

Tambah beliau berdasarkan keterangan saksi, lima suspek yang menyerang mangsa adalah lelaki yang dikenalinya manakala tiga yang lain tidak dikenali.

“Siasatan awal terhadap saksi iaitu rakan mangsa yang berjaya melarikan diri menyatakan kesemua lapan suspek terdiri daripada lima lelaki yang dikenali sementara tiga tidak dikenali.

“Saksi berkata suspek datang dengan dua buah kenderaan yang mana salah satunya proton Iswara berwarna putih. Saksi yang berusia 32 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujar beliau.

Ahmad Adnan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.