HUTAN MELINTANG, 17 Julai – Mayat seorang lelaki warga Thailand yang dikatakan terjatuh dari bot dua hari lalu ditemui hari ini.

Mayat lelaki berusia 48 tahun itu ditemui kira-kira 11.18 pagi oleh pasukan bomba yang melalui operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mayat mangsa ditemui terapung di celah pokok.

“Mangsa dibawa ke jeti awam dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada Khamis lalu, JBPM Perak menerima maklumat mengenai seorang lelaki warga Thailand terjatuh dari bot di pelantar ikan swasta di Jalan Tepi Sungai, di sini, kira-kira jam 9.50 malam.

Ekoran daripada itu, bomba melakukan pencarian di permukaan sekitar lapan kilometer radius dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

Operasi SAR turut disertai Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit K9 (Unit Anjing) JBPM.

Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Abdullah ditamatkan jam 1.35 petang.