TELUK INTAN, 29 Julai- Mayat lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Perak ketika memancing berdekatan jeti Pokok Asam, ditemukan terapung tengah hari tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Teoh Har Soon, 63, dijumpai pada jam 1.40 tengah hari dalam keadaan terapung oleh anggota bomba, dalam jarak 150 meter dari tempat dia dipercayai jatuh.

Menerusi kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Langkap dan Teluk Intan.

“Terdapat kes lemas di jeti Pokok Asam, mangsa dipercayai terjatuh dari bot ketika sedang memancing di Sungai Perak.

“Anggota membuat pencarian dengan kaedah ‘surface searching’ menggunakan bot sehingga mangsa berjaya timbul di permukaan air,” katanya.

Ujar jurucakap itu lagi, mangsa disahkan maut oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat pada jam 2.50 petang.