IPOH, 26 Julai – Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad merakamkan ucapan takziah kepada Exco Kerajaan Negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya yang kehilangan ibunya awal pagi Isnin.

Dalam satu hantaran di laman Facebook, Saarani turut menitipkan doa ke atas Allahyarhamah dan ketabahan buat seluruh ahli keluarga Shahrul Zaman.

“Sama-sama doakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah dan ditempatkan dalam kalangan para solehin.

“Moga Datuk Shahrul dan seluruh ahli keluarga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menempuh dugaan berat ini,” katanya pada Isnin.

Terdahulu Shahrul Zaman memaklumkan perkhabaran sedih kehilangan ibu tersayang, Datin Zubaidah Tahir, menerusi hantaran ringkas di laman Facebooknya.

“Mak saya telah pulang ke rahmatullah 5.20 pagi tadi,” tulisnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup.

Sementara itu, Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Allahyarhamah sebagai individu yang berjasa kepada parti.

“Allahyarhamah juga merupakan bekas Naib Ketua Wanita UMNO bahagian Bagan Datuk, jasa dan pengorbanan Allahyarhamah kepada parti terlalu besar.

“Semoga segala kebaikan dan ganjaran diberikan Allah SWT kepada Allahyarhamah,” tulis Ahmad Zahid di laman Facebook beliau.