IPOH, 30 Mei – Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria yang meninggal dunia hari ini.

Saarani berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada negeri Perak, yang selama ini tidak pernah jemu mencurahkan jasa dalam menyebarkan dakwah Islam.

“Sebak sungguh rasanya menerima khabar duka ini.

“Kita baru sahaja kehilangan seorang agamawan terbilang, seorang murabbi ummah yang tidak pernah jemu mencurahkan jasa dalam menyebarkan dakwah Islam.

“Saya sendiri banyak kenangan bersama Allahyarham. Seorang yang ilmuan yang cukup dihormati dan disegani,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Ujarnya lagi, dalam ketegasannya, terselit santun dan lembut tutur kata, di samping berdakwah secara berhikmah dan berilmu.

“Salam takziah buat keluarga dan sahabat handai Allahyarham Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan sama-sama kita mendoakan agar segala urusan dipermudahkan,”katanya.

Terdahulu media melaporkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dekat sini pada Ahad.

Perkara itu dimaklumkan menerusi Facebook rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim mengesahkan Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya, Ipoh.