IPOH, 9 Mei – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah membelanjakan lebih RM50,000 tahun ini untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, untuk program MBI Prihatin sahaja, pihaknya membelanjakan lebih RM15,000 setakat ini.

Menurut beliau, MBI bukan sahaja menyalurkan bantuan secara terus kepada kumpulan sasar tetapi juga kemudahan-kemudahan infrastruktur lain, dengan kerjasama pihak swasta.

“Bukan sekadar kita beri bantuan terus tetapi kita juga memohon untuk bantuan infrastruktur.

“Misalnya ada sesetengah kawasan, kita bangunkan jalan, longkang, rumah dan bermacam-macam lagi, yang nilai keseluruhannya bantuan itu berjuta di bawah projek perkongsian bijak,” katanya.

Beliau berkata demikian menyampaikan sumbangan Aidilfitri di bawah program MBI Prihatin di Pertubuhan Rumah Anak Yatim Nurkasih Al-Harraz, Panorama Lapangan Perdana Bandar Cyber, di sini, hari ini.

Sumbangan barangan makanan bernilai RM2,000 tajaan Econsave dan duit raya sumbangan MBI.

Turut hadir Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, ShahEffendy Rosman dan Pengurus rumah yatim itu, Norizan Razali.

Dalam perkembangan lain, Rumaizi memberitahu, MBI telah menyelesaikan kira-kira 85 peratus masalah jalan berlubang di sekitar bandaraya.

“Ada lebih kurang 15 peratus lagi dan kita akan pertingkatkan lagi,” ujarnya.