IPOH, 13 Okt-Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melahirkan rasa kesal dengan perbuatan vandalisme terhadap kemudahan kerusi yang baru dipasang di padang Taman Perpaduan Koperasi, di sini.

Apa yang lebih mengecewakan lagi, kejadian vandalisme itu berlaku beberapa hari selepas kemudahan itu disediakan kepada orang ramai.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dalam satu kenyataan berkata kemudahan tersebut disediakan bagi memberi keselesaan kepada orang ramai untuk bersantai di padang berkenaan.

“MBI menanggung kerugian ratusan ringgit untuk menggantikan semula kerosakan kemudahan tersebut.

“Kemudahan berkenaan yang disediakan untuk keselesaan orang ramai tidak sepatutnya dirosakkan,” katanya pada Rabu.

Justeru MBI berharap semua pihak bekerjasama untuk menjaga kemudahan yang disediakan.

Pihaknya juga akan menugaskan anggota penguatkuasa MBI berpakaian biasa untuk menjalankan rondaan di sekitar padang dan taman rekreasi bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Wargakota Ipoh juga boleh memaklumkan perbuatan vandalisme seperti ini kepada MBI di talian 05-2551515 atau whatsapp ke 019-5503083.