IPOH, 30 Nov – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melancarkan sistem tempahan baharu bagi fasilitinya bagi menggantikan sistem lama eDewan.
 

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, sistem itu dapat memudahkan urusan warga Ipoh untuk melaksanakan pembayaran melalui atas talian tanpa perlu hadir ke mana-mana kaunter MBI apabila menggunakan kemudahan fasiliti seperti dewan, padang dan juga Kompleks Sukan.
 

Menurutnya, pengguna hanya perlu mendaftar akaun dengan menggunakan kad pengenalan serta memasukkan  maklumat asas seperti alamat rumah, emel dan nombor telefon dan seterusnya boleh memilih kemudahan fasiliti Majlis yang disediakan.
 

“Sistem yang ringkas dan mudah difahami ini juga dapat menjimatkan masa pengguna untuk menempah fasiliti yang ingin digunakan dan melaksanakan pembayaran terlebih dahulu sebelum menggunakan fasiliti yang telah ditempah,” katanya ketika berucap sempena mesyuarat penuh MBI di sini, hari ini.

 
Beliau berkata, pengguna akan menerima notifikasi melalui emel setelah tempahan dan bayaran dilaksanakan.

Menurutnya, sistem itu juga turut mempunyai permohonan tuntutan cagaran secara atas talian setelah menggunakan fasiliti Majlis.
 

“Pihak Majlis berharap dengan adanya sistem EzBooking MBI ini, ianya dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kepada warga kota Ipoh sejajar dengan keperluan teknologi semasa bagi mencapat hasrat Komuniti Digital menjelang tahun 2025,” ujarnya.