IPOH, 17 April – Seramai 70 anak yatim diraikan dengan membawa mereka membeli-belah kelengkapan hari raya di pasar raya Econsave Jelapang di sini, hari ini.

Mereka terdiri daripada kanak-kanak berusia antara tiga dan 17 tahun dari Pertubuhan Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Al-Harraz serta Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin di sini.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Syahrizan Azmi berkata, penganjuran kali keenam itu diadakan bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Setiap mereka menerima baucer sebanyak RM50 yang disumbangkan oleh Econsave dan mereka memilih sendiri pakaian untuk hari raya nanti.

“Program sebegini diharapkan dapat menceriakan anak-anak di kedua-dua pertubuhan itu dalam membuat persiapan menyambut hari raya,” katanya pada program itu.

Program anjuran bersama MBI, Econsave dan Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak.

Hadir sama, Pengurus Cawangan Econsave Jelapang, Shah Effendy Rosman.

Seorang kanak-kanak yang ditemui, Nur Zakirah Abdul Malik, dari rumah anak yatim Pertubuhan Baitul Aini melahirkan rasa syukur dan gembira kerana dapat membeli baju raya.


 

“saya dah lapan tahun tinggal di rumah anak yatim. Ayah dah meninggal dunia dan ibu menanggung kami lapan beradik dengan menjual sate,” katanya.

Seorang lagi kanak-kanak, Syuhada Abdullah, 9, berkata, dia sangat gembira dapat beli baju raya bersama rakan-rakan lain.

“Saya memilih baju merah jambu, tidak sabar nak pakai waktu raya nanti,” ujarnya yang kelihatan sangat teruja.

Bagi Muhammad Faries Naufal Abdullah, 13, inilah pertama kali dia merasai suasana membeli baju raya bersama rakan-rakan lain.

“Terima kasih kerana sudi bantu kami dapatlah saya beli baju dan kasut baharu, sebelum ini saya tidak pernah beli baju raya,” katanya sambil bersyukur kerana dapat membeli baju idaman seperti dalam iklan televisyen.