IPOH, 17 Julai – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sebelum ini dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang dikuatkuasakan nyata memberi kesan kepada periuk nasi khususnya peniaga pasar malam.

Justeru atas rasa prihatin, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil inisiatif menyampaikan 200 bakul atau beg berisi pelbagai barangan makanan asas kepada 10 persatuan peniaga yang berada di bandar raya berkenaan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata barangan tersebut kemudiannya akan diagihkan wakil persatuan kepada semua ahli mereka khususnya yang terjejas susulan larangan pengoperasian pasar malam sejak lebih sebulan.

“Mereka ini terkesan susulan pelaksanaan PKP lalu dan PPN. Apabila tidak dibenarkan pasar malam dibuka, maka mereka tiada sumber pendapatan. Justeru bakul makanan ini kita serahkan kepada mereka yang benar-benar terjejas.

“Untuk rekod usaha sebegini bukan kali pertama. Sebaliknya pada tahun lalu kita ada juga memberi sumbangan kepada peniaga, akan tetapi ia berbentuk wang tunai. Ia susulan mereka tidak boleh berniaga lebih tiga bulan.

“Jadi kali ini kita beri bakul makanan. Namun sekiranya larangan sama terus berlarutan beberapa bulan, kita akan melihat semula kemungkinan akan memberi bantuan seperti tahun lalu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemeberita selepas menyampaikan sumbangan 200 bakul makanan kepada wakil-wakil persatuan peniaga di Bangunan MBI, dekat sini pada Sabtu.

Pada masa sama, semua wakil persatuan peniaga yang ditemui mengucapkan penghargaan atas keprihatinan MBI terhadap nasib ahli mereka yang terkesan susulan pandemik COVID-19.

Menurut Pengerusi Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Perak Cawangan Daerah Kinta, Zahari Abd Murad sejak PKP, ramai pihak telah tampil memberi bantuan kepada ahlinya.

Katanya selain bantan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, wakil-wakil rakyat, agensi kerajaan serta swasta, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah menyampaikan bantuan tunai RM400 kepada semua peniaga.

“Kita telah menulis surat kepada lima pejabat Ahli Parlimen di Daerah Kinta untuk memohon bantuan kepada peniaga kita. Harap ada maklum balas positif,” katanya.

Jelasnya PPPKM Perak mempunyai 5616 ahli dan daripada jumlah itu 800 berada di Daerah Kinta.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pasar Pagi dan Pasar Malam Ipoh, Wong Kok Hoe berkata walaupun ramai peniaga terkesan namun mereka akur kepada arahan yang dikeluarkan kerajaan.

“Ada antara ahli kami sekarang ini terpaksa berniaga di tepi jalan. Namun kami akur kerana larangan pengoperasian pasar malam ini adalah usaha untuk mengurangkan kes COVID-19,” katanya.

Tambah Kok Hoe terdapat 300 ahli di bawah persatuannya yang membabitkan pasar malam di Menglembu, Medan Ipoh, Taman SPPK, Taman Pertama serta Bercham.