IPOH, 10 JUN- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan meneruskan program bantuan kepada golongan terkesan, termasuk pengecualian sewa seperti sebelumnya jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, inisiatif itu antara lain bertujuan meringankan beban rakyat khususnya peniaga kecil dan miskin bandar.

“Kita bergantung kepada kerajaan, setakat ini kalau kerajaan mahu teruskan PKP, kita akan teruskan bantuan. Termasuk perkara lain seperti sewa dan pengecualian lain yang diberikan sebelum ini.

“Kalau kerajaan melanjutkan tempoh PKP, kita pun akan lanjutkan bantuan.

“Golongan yang terkesan ini bergantung kepada PKP, contohnya yang bergaji harian dan peniaga kecil. Selagi PKP ini dilaksanakan maka mereka tiada kerja dan gaji. Kelompok ini yang dikategorikan miskin bandar,” katanya.

Rumaizi berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Pek Makanan dan Mandian sumbangan MBI dan Kinta Properties kepada Pengerusi rumah pangsa di Bangunan MBI, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Rumaizi berkata program yang berlangsung hari ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersamas yarikat korporat yang diagihkan kepada beberapa kawasan di Ipoh.

“MBI dengan kerjasama syarikat korporat yang beroperasi di Ipoh telah memulakan program CSR bagi membantu masyarakat yang terkesan daripada pandemik COVID-19.

“Syarikat Kinta Properties telah menyumbang 100 pek makanan dan keperluan asas kepada penduduk PPR di flat Buntong Harmoni, Waller Court dan Kinta Heights.

“Mereka juga menambah 150 pek lagi yang akan diagihkan kepada golongan terkesan seperti di kawasan Kampung Baru Buntong, Kampung Baru Pasir Pinji, Kampung Simee dan Kampung Kepayang,” katanya.

Katanya lagi, setiap sumbangan mengandungi 18 jenis barang keperluan makanan seperti beras, mihun, kacang tin, bawang putih dan minyak masak.

Selain itu, turut disertakan barangan penjagaan diri seperti tuala wanita, syampu, ubat gigi dan sabun mandi.